Pages

Snow

Monday, 28 November 2011

Kemahiran Bahasa

Kemahiran bahasa meliputi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kemahiran bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku. Penerangan terhadap kandungan kurikulum dinyatakan seperti yang berikut:

  • Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan seperti bersoal jawab, ucapan, lakonan dan perbincangan. Murid juga perlu menghayati dan memberi respons yang betul kepada perkara yang didengar. 

  • Kemahiran bertutur pula merujuk kepada keupayaan murid berbicara secara lisan untuk hubungan sosial, menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kritis dan kreatif. Penekanan diberi pada sebutan dan intonasi yang betul serta pengucapan yang bertatasusila serta menggunakan tatabahasa yang betul.
  • Kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda dan kelancaran yang betul dengan menggunakan pelbagai teknik bacaan. Penekanan perlu juga diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan ilmu, dan bahan sastera dan bukan sastera secara kritis.
  • Kemahiran menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat, serta mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan kreatif dan bukan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi. Penekanan juga diberi pada penulisan yang menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan tatabahasa serta ejaan yang betul dengan tulisan yang jelas dan kemas. Murid juga digalak menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan bahan penulisan.

No comments:

Post a Comment