Pages

Snow

Monday, 28 November 2011

Objektif Kemahiran Bahasa

Objektif Kemahiran Mendengar dan Bertutur
Objektif Kemahiran Mendengar dan Bertutur adalah untuk memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan: 

i. mendengar, memahami , menyebut frasa, ayat tunggal dan ayat majmuk dengan betul dan tepat;

ii. mendengar, memahami dan memberikan respons secara lisan atau gerak laku terhadap arahan berdasarkan ayat perintah jenis silaan dan ayat perintah jenis larangan dengan betul;

iii. mendengar, memahami, dan memberikan respons secara lisan atau gerak laku berdasarkan pelbagai soalan bercapah dan pesanan mengikut urutan yang betul;

iv. bertutur, berbual dan menyatakan permintaan menggunakan frasa yang betul. Ayat yang mengandungi kata penggilan bukan dalam kalangan keluarga asas dan kata ganti nama diri ketiga dengan betul dalam situasi tidak formal secara bertatasusila;

v. bercerita tentang sesuatu perkara dan menceritakan perkara yang didengar dengan tepat menggunakan ayat majmuk dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul;

vi. berbicara untuk mendapat dan menyamnpaikan maklumat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber dengan tepat menggunakan ayat yang mengandungi perkataan dan rangkai kata yang sesuai secara bertatasusila;dan

vii. berbincang dan mengemukakan pandangan dan pendapat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber secara bertatasusila.

Prinsip Kemahiran Mendengar dan Bertutur
i. Kemahiran mendengar dan bertutur merupakan asas dalam kemahiran berbahasa.

ii. Bertutur dengan bahasa yang mudah, tepat dan jelas.

iii. Bahan ransangan penting untuk meningkatkan minat dalam menguasai kemahiran mendengar dan bertutur.

iv. Memberi peluang kepada murid terlibat secara aktif dapat mempercepat penguasaan kemahiran.

v. Memberi tumpuan kepada aspek sebutan, intonasi, jeda dan tatabahasa;

vi. Laras bahasa yang digunakan mesti bersesuaian dengan konsep.

Kemahiran Bahasa

Kemahiran bahasa meliputi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kemahiran bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku. Penerangan terhadap kandungan kurikulum dinyatakan seperti yang berikut:

  • Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan seperti bersoal jawab, ucapan, lakonan dan perbincangan. Murid juga perlu menghayati dan memberi respons yang betul kepada perkara yang didengar. 

  • Kemahiran bertutur pula merujuk kepada keupayaan murid berbicara secara lisan untuk hubungan sosial, menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kritis dan kreatif. Penekanan diberi pada sebutan dan intonasi yang betul serta pengucapan yang bertatasusila serta menggunakan tatabahasa yang betul.
  • Kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda dan kelancaran yang betul dengan menggunakan pelbagai teknik bacaan. Penekanan perlu juga diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan ilmu, dan bahan sastera dan bukan sastera secara kritis.
  • Kemahiran menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat, serta mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan kreatif dan bukan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi. Penekanan juga diberi pada penulisan yang menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan tatabahasa serta ejaan yang betul dengan tulisan yang jelas dan kemas. Murid juga digalak menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan bahan penulisan.

Kandungan

Standard Kurikulum

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah digubal dengan memberikan penekanan pada Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu diketahui dan dapat dilakukan oleh murid. Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran ini berpaksikan Kemahiran Bahasa dan Sistem Bahasa yang disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum. Standard ini digubal dalam bentuk pernyataan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid sekolah kebangsaan dan juga di sekolah jenis kebangsaan. Standard ini terdiri daripada modul mendengar dan bertutur, membaca, menulis, seni bahasa dan tatabahasa. Setiap modul ini dipersembahkan dalam bentuk modular yang dibahagikan kepada bahagian dan unit yang mengandungi elemen pengetahuan, kemahiran serta nilai murni yang perlu dikuasai oleh murid.


Standard Kandungan

Pernyataan tentang bidang ilmu yang patut diketahui dan dapat dilakukan oleh murid dalam suatu tempoh persekolahan yang merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai murni.


Standard Pembelajaran
Pernyataan tentang penetapan kriteria untuk memastikan kualiti pembelajaran dan pencapaian murid bagi setiap standard kandungan.

Sunday, 27 November 2011

Objektif


Murid yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Standard Bahasa Malaysia Sekolah Rendah berkeupayaan untuk :

i. mendengar, mengecam, mengajuk dan menentukan arah bunyi persekitaran dengan teliti dan betul;

ii. mendengar, memahami, dan menyebut bunyi bahasa iaitu abjad, perkataan, frasa dan ayat dengan betul;

iii. mendengar, memahami dan memberikan respons berdasarkan arahan, pesanan dan pertanyaan dengan betul;

iv. bertutur dan berbual serta menyatakan permintaan tentang sesuatu perkara dalam situasi formal dan tidak formal dengan betul secara bertatasusila;

v. bercerita sesuatu perkara dan menceritakan semula perkara yang didengar menggunakan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul;

vi. berbicara untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber dengan tepat secara bertatasusila;

vii. berbincang dan mengemukakan pendapat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber secara bertatasusila;

viii. membaca, memahami perkataan, frasa dan ayat daripada pelbagai sumber dengan lancar, sebutan yang jelas dan intonasi yang betul;
 
ix. membaca dan memahami maklumat yang tersurat dan tersirat daripada pelbagai bahan untuk memberi respons dengan betul;

x. membaca dan menaakul untuk memindahkan maklumat yang terdapat dalam pelbagai bahan.

xi. membaca pelbagai bahan bacaan bagi memperkaya kosa kata dan maklumat untuk memupuk minat membaca;

xii. melakukan aktiviti pramenulis dengan betul;

xiii. menulis secara mekanis dengan betul dan kemas;

xiv. membina dan menulis perkataan, frasa dan ayat dengan betul;

xv. menulis imlak dengan tepat.

xvi. mencatat dan menulis untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa yang santun;

xvii. menghasilkan penulisan kreatif dalam pelbagai genre dengan betul;

xviii. mengedit dan memurnikan hasil penulisan;

xix. menulis ulasan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber;

xx. menggunakan sistem bahasa yang betul dalam pertuturan, pembacaan dan penulisan; dan

xxi. menghayati dan mengamalkan nilai murni, bersikap positif, semangat patriotik dan kewarganegaraan melalui aktiviti berbahasa.

Matlamat


Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah digubal untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh pengetahuan, ilmu, kemahiran, maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian.

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia


Standard Kurikulum Bahasa Malaysia dibina berasaskan enam tunjang iaitu tunjang Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan; Literasi Sains dan Teknologi; Fizikal dan Estetika; dan Keterampilan Diri. Enam tunjang tersebut merupakan domain utama yang menyokong antara satu sama lain dan disepadukan dengan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Kesepaduan ini bertujuan untuk membangunkan modal insan yang seimbang, berpengetahuan dan berketerampilan. Beberapa penamahbaikan telah dibuat dalam Standard Kurikulum Bahasa Malaysia. Antara penambahbaikan ialah penekanan aspek tatabahasa yang diajarkan secara khusus dalam waktu yang diperuntukan dan aspek Seni Bahasa diperkenalkan untuk membolehkan murid mengapresiasi keindahan seni dalam bahasa melalui unsur didik hibur. Standard Kurikulum Bahasa Malaysia ini dijelmakan dalam standard kandungan dan standard pembelajaran yang lebih memfokuskan keupayaan murid berkomunikasi.
Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Tahun Dua, lebih mementingkan penguasaan kemahiran asas berbahasa bagi murid Tahap Satu. Pengajaran yang berpusatkan murid serta kemahiran bernilai tambah dapat memantapkan penguasaan kemahiran bahasa dan mereka berkemampuan untuk meneroka ilmu pengetahuan dengan lebih luas. Standard kurikulum ini juga memberi penekanan kepada penerapan nilai murni dalam membentuk insan yang sempurna dan berkembang secara menyeluruh daripada aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui pengajaran secara teori dan amali. Pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan dalam suasana yang kondusif perlu untuk membantu merangsang dan meningkatkan kreativiti dan minat murid untuk belajar dengan berkesan. Standard kandungan ini mengutamakan pendemokrasian pendidikan kepada semua murid sekolah rendah ke arah merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.